Pages

Sunday, May 16, 2010

Wanita, Cinta dan Naluri Seks dalam Tinjauan Islam.

Kenyataan yang ada pada generasi muda muslim dan muslimat pada hari ini, majoritinya telah dibuai dengan kemungkaran modenisasi, seperti pergaulan serta seks bebas, namun ianya sering dijadikan alasan kemajuan dan globalisasi. Seks yang merupakan fitrah dan kurniaan Allah Ta'ala berubah fungsi menjadi sumber komoditi mencari keuntungan yang berlipat kali ganda. Norma-norma yang berlaku di dalam kehidupan tidak lagi menjadi pegangan. Tandusnya rasa malu kaum Hawa terlihat jelas dari segi etika berpakaian yang dililitkan ke tubuhnya sudah begitu jauh dari tuntunan syari'at serta unsur-unsur Islam yang sebenar. Nauzubillah
Firman Allah SWT: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (QS:33:59)




Rasulullah SAW bersabda: "Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium wangi Syurga, padahal wangi Syurga itu tercium sejauh perjalanan sekian dan sekian." Sebab meskipun berpakaian, pada hakikatnya mereka telanjang.(Imam Muslim).
Ironiknya, setiap hari kita selalu berhadapan dengan permasalahn yang tersebut diatas.Dimana sahaja kita sering terdengar oleh lunak suara wanita, wajahnya lenggang –lenggoknya yang mempunyai daya tarikan tersendiri seakan keajaiban (magic) yang menjadikannya indah dipandang oleh pandangan manusia dari kaum adam.


Firman Allah SWT:Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (QS:3:14)


Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah ada suatu cubaan yang terjadi sepeninggalanku yang lebih berbahaya bagi kaum laki-laki, yang melebihi bahayanya cubaan yang berhubungan dengan soal wanita". (HR. Al-Bukhari dan Muslim).


Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitabnya Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqqin menyatakan, ada tiga faktor yang menyebabkan lahirnya perasaan cinta, iaitu:
1.Sifat-sifat yang dimiliki oleh seseorang yang membuatkan dirinya dicintai oleh kekasihnya.
2.Perhatian kekasih terhadap sifat-sifat tersebut.
3.Pertalian antara seseorang yang sedang jatuh cinta dengan orang yang dicintainya.
Dengan ketiga faktor cinta yang dikemukakan oleh Ibnul Qayyim tersebut, maka terbuktilah ikatan percintaan, ianya akan menjadi lemah jika terdapat kekurangan dari ketiga-tiga faktor itu.


Hal sedemikian ini diakui oleh Islam. Tapi Islam membezakan antara cinta dan seks sebagai nafsu. Cinta adalah mawaddah wa rahmah, sedang nafsu seks sebagai naluri adalah nafsu syahwat. Keduanya hanya akan bersatu dalam ikatan suci iaitu perkahwinan, kerana lahirnya cinta selepas pernikahan adalah cinta yang dijamin oleh Allah SWT.


Firman Allah SWT: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (QS:30:21)


Dari ayat di atas dapat disimpulkan bahwa Islam tidak mengenal percintaan sebelum perkawinan yang sah, apalagi dengan perhubungan yang berunsurkan nafsu syahwat, sehingga menjadi naluri yang cenderung mengajak kepada perbuatan-perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT, sebagaimana telah termaktub dalam Al-Quran.


Firman Allah SWT: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS:12:53)




Ibnul Qayyim berkata: "Hubungan intim tanpa pernikahan adalah haram dan merosakkan cinta, malah cinta di antara keduanya akan berakhir dengan sikap saling membenci dan bermusuhan, kerana bila keduanya telah merasakan kelazatan dan citarasa cinta, ianya tidak lagi akan timbul keinginan lain yang belum diperolehinya." "Bohong!", itulah komentar sinis mereka guna membela nafsu syahwatnya, untuk menterjemahkan percintaan secara haram. Bahkan lebih parah lagi, mereka berani bersumpah, cinta yang dilahirkan bersama sang kekasih adalah cinta suci, bukan cinta berahi dan syaitani.


Padahal yang dijaga dalam Islam bukanlah semata-mata perihal keremajaan, kegadisan dan selaput dara saja, tetapi lebih dari itu, kesucian mata, telinga, hidung, tangan, kaki dan seluruh anggota tubuh. Bahkan kesucian hati juga wajib dijaga. Zinanya mata adalah berpandangan dengan bukan mahramnya, zinanya hati adalah membayangkan dan berkhayal, dan zinanya tangan adalah menyentuh tubuh wanita yang bukan mahramnya.



Rasulullah SAW bersabda: "Telah ditulis atas anak Adam bahagiannya dari hal zina yang akan ditemui dalam hidupnya, tidak akan tidak. Zinanya mata adalah melihat, zinanya telinga adalah mendengar, zinanya kaki adalah berjalan, dan zinanya hati adalah keinginan dan berangan-angan, dan semua itu dibenarkan atau didustakan oleh kelaminnya." (HR. Muslim dari Abu Hurairah).



Asmara yang bergejolak menuntut keintiman dan kesyahduan, sehingga cinta buta menjadi mahar yang menghalalkan hubungan kelamin kisah kasih dua insan yang berlainan jenis. Untuk itu dalam menghadapi semua ini, hendaklah kita sentiasa berpedoman pada aturan-aturan yang telah ditetapkan oleh Islam, di antaranya adalah:

A. Menjaga pandangan mata, memelihara mata cukuplah dengan menundukkan pandangan bila ada gadis atau wanita yang bukan mahramnya, dan jangan memandangnya berulangkali. Hal ini diajar oleh Allah SWT dan RasulNya agar kita dapat mengendalikan mata sebagai pancaindera yang sangat peka terhadap seks.


Allah SWT berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.QS:24:30~31)


Tapi ada pula yang memandang untuk suatu keperluan yang diperbolehkan, seperti dalam pengubatan, peminangan dan segala sesuatu yang telah disyari'atkan dalam Islam.
Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis: "Dari Mughirah bin Syu'bah, bahwa dia hendak menikah dengan seorang wanita, Nabi bertanya, 'Sudahkah kamu melihatnya?', 'Belum', jawabnya, lalu Nabi SAW bersabda, 'Lihatlah dia, sesungguhnya dengan melihatnya lebih mententeramkan hati kamu berdua'." (HR. An-Nasa'i, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).


B. Menjauhi segala aktiviti pergaulan bebas. Pergaulan bebas pasti menimbulkan hal-hal yang negatif yang tidak diinginkan. Hal ini dapat dilihat di barat, yang mengagungkan kebebasan dalam segala hal, termasuk dalam seks. Kini mereka menjerit, angka perceraian sangat tinggi, setiap minit terjadi tindakan perkosaan dan kesahihan pernikahan diragukan, terjadilah kejatuhan moral dan tersebar berbagai penyakit kelamin.


Allah SWT memberi amaran antara pergaulan lelaki dan wanita yang bukan mahramnya dengan firmanNya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (QS:17:32)


Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, janganlah dia bersunyi sepi berduaan dengan wanita yang tidak didampingi mahramnya, kerana yang menjadi pihak ketiganya adalah syaitan." (HR. Ahmad).

Apatah lagi bila bersentuhan dengan lawan jenis yang bukan mahramnya.
A'isyah r.a berkata: "Tangan Rasulullah SAW tidak pernah sama sekali menyentuh tangan perempuan di dalam bai'at, bai'at Rasulullah dengan mereka adalah berupa ucapan." (HR. Al-Bukhari,Abu Abbas).


AbuHusna
Grand Season Hotel, KL

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Related Posts with Thumbnails