Pages

Monday, December 6, 2010

Bukan ‘Aishah Pencetus Fitnah Perang Jamal

Muqaddimah:
Rata-rata penulis sejarah Islam meletakkan kesalahan di atas bahu ‘Aishah dengan menuduhnya sebagai punca berlakunya fitnah perang Jamal yang berakhir dengan kekalahannya kepada tentera Sayyidina ‘Ali. Beliau didakwa mempunyai maksud untuk menjatuhkan Khalifah ‘Ali yang telahpun dibai’ah. Mereka mengaitkan juga dengan kegagalan Sayyidatina ‘Aishah di dalam peperangan Jamal itu dengan sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: “Sekali-kali tidak akan berjaya golongan yang dipimpin oleh seorang perempuan”. Persoalannya adakah benar begitu pendirian Sayyidatina ‘Aishah, isteri Rasulullah s.a.w. di dunia dan akhirat, guru kepada sekalian sahabat dan juga ibu kepada orang-orang mu`min? Apakah maksud memimpin orang-orang Islam menemui Sayyidina ‘Ali dan adakah wanita sama sekali tidak boleh menjadi pemimpin?

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ الْهَيْثَمِ حَدَّثَنَا عَوْفٌ عَنْ الْحَسَنِ عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ لَقَدْ نَفَعَنِي اللَّهُ بِكَلِمَةٍ أَيَّامَ الْجَمَلِ لَمَّا بَلَغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ فَارِسًا مَلَّكُوا ابْنَةَ كِسْرَى قَالَ لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةً

Diriwayatkan daripada al-Hasan daripada Abu Bakrah katanya: “Allah memberi satu faedah dan pengajaran kepada saya apabila berlaku peperangan Jamal iaitu bila sampai kepada Rasulullah orang-orang Parsi melantik anak perempuan Kisra sebagai raja. Baginda bersabda: “Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik perempuan memegang urusan mereka”. (al-Bukhari, no: 7099)




Apa yang disebutkan oleh Abu Bakrah sebenarnya adalah hasil kesimpulannya dan pemahamannya sendiri. Padahal peperangan Jamal tercetus bukan kerana permusuhan dan perebutan kuasa di antara Sayyidatina ‘Aishah dan Sayyidina ‘Ali tetapi kekeliruan akibat pertempuran yang dirancang di antara dua kumpulan Saba`iyyah (golongan Syiah) yang menyelinap masuk dalam kumpulan ‘Aishah dan Sayyidina ‘Ali. Kumpulan Saba’iyyah inilah yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Uthman.

Sayyidatina ‘Aishah, yang mempunyai kedudukan dan berwibawa di kalangan umat Islam, telah didatangi oleh sekumpulan dari mereka supaya mencari jalan supaya tindakan diambil ke atas pembunuh-pembunuh Sayyidina Uthman. Untuk memenuhi permintaan tersebut, beliau bercadang menemui Sayyidina ‘Ali untuk menasihatinya supaya mengambil tindakan ke atas pembunuh Sayyidina Uthman demi mengelakkan fitnah yang lebih besar. Bersama dengan beliau ada dua orang sahabat besar iaitu Talhah dan al-Zubair r.a. Mereka berdua telah pun berbai’ah dengan Sayyidina ‘Ali dan meminta keizinan dari beliau (‘Ali) untuk menyelesaikan masalah darah Khalifah.

Pada masa itu, Sayyidatina ‘A`ishah dalam perjalanan pulang ke Madinah setelah menunaikan haji. Demi untuk menyelesaikan kekusutan tersebut beliau terpaksa berpatah balik ke Mekah.

Tujuan Sayyidatina ‘Aishah pergi ke Mekah ialah untuk mendamaikan bukan untuk menonjolkan dirinya untuk menjadi khalifah. Fakta sejarah telah diselewengkan dengan mengatakan tujuan kedatangan ‘A`ishah adalah untuk merampas jawatan khalifah. Sedangkan yang sebenarnya, beliau datang adalah untuk kedamaian iaitu untuk menyelesaikan kes pembunuhan Khalifah ‘Uthman.

Golongan munafikin yang membunuh Khalifah ‘Uthman membuat perhitungan iaitu jika Sayyidina ‘Ali dan ‘Aishah berdamai maka keselamatan mereka akan tergugat dan mereka akan dibunuh. Mereka segera mengatur rancangan dan membuat keputusan bahawa satu kumpulan dari mereka akan berada di pihak ‘Aishah manakala satu lagi kumpulan akan menyelinap ke dalam kumpulan Sayyidina ‘Ali. Sebelum Sayyidina ‘Ali dan para Sahabat mencapai apa-apa persetujuan, mereka secara senyap telah mencetuskan kekacauan dengan saling menyerang di antara satu sama lain menyebabkan berlaku kekeliruan kepada kedua-dua belah pihak. Orang-orang yang berada di pihak Sayyidatina ‘Aishah menyangka mereka diserang oleh pihak Sayyidina ‘Ali dan begitu juga sebaliknya.

Keadaan menjadi kelam-kabut dan berselerakan dan terjadilah pertumpahan darah sesama muslimin. Tercapai lah hajat musuh-musuh Islam tersebut.

Semuanya ini berlaku disebabkan oleh perancangan licik pembunuh-pembunuh Khalifah ‘Uthman. Pada hal, kedua-dua pihak Sayyidina Ali dan Sayyidatina ‘Aishah masih lagi berunding untuk menyelesaikan kes pembunuhan Sayyidina Uthman.

Amat malang niat mereka yang datang untuk berdamai dan memulihkan keadaan tetapi muncul pula fitnah yang lain.

Dengan kekuatan tentera yang dimilikinya, Sayyidina ‘Ali berjaya menguasai pasukan Sayyidatina ‘Aishah kerana pada masa itu, pasukan Sayyidatina ‘Aishah tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Ini adalah kerana tujuan kedatangan mereka adalah bukan untuk berperang tetapi untuk mencari jalan perdamaian. Malah amat jauh sekali untuk memberontak dan merebut jawatan khalifah daripada Sayyidina ‘Ali.

Walaupun telah menguasai pertempuran, Sayyidina ‘Ali tetap menunjukkan sikap hormatnya kepada Sayyidatina ‘Aishah. Beliau menghantar Sayyidatina ‘Aishah pulang ke Madinah dalam keadaan tidak diapa-apakan dan terhormat. Kepada pasukannya, beliau berpesan supaya tidak menjadikan peperangan ini seperti peperangan lain kerana perang ini berlaku sesama sendiri. Harta pihak ‘A`ishah tidak boleh dijadikan sebagai ghanimah. Mereka yang lari tidak boleh dikejar dan yang terbunuh hendaklah disemadikan sebagai seorang Islam.

Abu Bakrah yang berpendapat bahawa apa yang berlaku adalah kesilapan ‘A`ishah kerana beliau seorang perempuan dan tidak layak memimpin sesuatu pasukan. Beliau memahami hadis “tidak akan berjaya satu kaum yang melantik perempuan memegang urusan mereka” sebagai berlaku kepada ‘Aishah. Apa yang difahami oleh Abu Bakrah sebenarnya adalah pendapatnya sendiri dan bukan mewakili pendapat semua sahabat.

Dengan bersandarkan pendapat Abu Bakrah inilah, ada ulama menyimpulkan bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin baik di peringkat mana pun, sama ada di peringkat rendah, apatah lagi diperingkat tinggi.

Boleh atau tidaknya seorang perempuan menjadi pemimpin adalah merupakan khilaf di kalangan ulama dan kita tidak boleh berhujah dengan hadis ini dengan mengatakan wanita tidak boleh menjadi pemimpin sama sekali. Ini kerana apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu mempunyai latar belakang dan sebab yang khusus iaitu merujuk kepada Kisra Parsi yang melantik anak perempuannya sebagai raja.

Sekiranya wanita adalah secara mutlak tidak boleh menjadi pemimpin tentu sekali Sayyidina ‘Umar tidak akan melantik Shifa` binti ‘Abdullah menjadi ketua yang bertanggunjawab terhadap bandar Madinah. Keluarnya Sayyidatina ‘Aishah menemui ‘Ali dengan tujuan untuk menasihatinya menunjukkan wanita boleh keluar dari rumahnya sekiranya ada keperluan dan dengan maksud yang baik malah dia juga boleh terlibat dengan urusan politik. Sekiranya ‘Aishah mengetahui dan memahami hadis tersebut iaitu perempuan tidak boleh menjadi pemimpin (seperti yang difahami oleh Abu Bakrah) tentu dari awal lagi beliau tidak akan terlibat dengan urusan negara ini. Ini menunjukkan bahawa ‘Aishah berpendapat bahawa harus keluar jika mempunyai maksud yang baik .

Cuma apa yang berlaku kepada ‘Aishah adalah sesuatu yang di luar jangkaannya. Kedatangan beliau dan rombongannya dengan tujuan yang baik dan suasana yang damai telah bertukar menjadi fitnah akibat konspirasi dan perancangan jahat golongan munafikin atau Saba`iyyah. Adalah tidak benar untuk meletakkan kesalahan ini kepada beliau dengan semata-mata beralasan bahawa beliau seorang wanita.

Pada kenyataannya, jatuh bangun sesebuah kerajaan bukan terletak kepada jantina pemerintahnya, tetapi berdasarkan kepada kebijaksanaan, ketelusan dan keadilannya. Sekian banyak negara yang ma’mur dan maju di bawah pemerintahan wanita yang adil dan bijaksana. Sementara itu, berapa banyak kerajaan yang telah hancur walaupun diperintah oleh orang lelaki bilamana pemimpin tersebut lemah dan korup.

Malah ada ulama yang berpendapat wanita boleh menjadi pemimpin di semua peringkat kecuali di peringkat wilayah kubra iaitu kepimpinan tertinggi negara.

Yang menariknya, al-Qur`an merakamkan kisah Baqis yang menjadi raja sebuah negara yang ma’mur dan maju. Kehebatan kerajaannya itu tidak dapat dikalahkan kecuali oleh kerajaan Nabi Sulaiman.

Sifat atau keadaan pendapat Abu Bakrah ini sama seperti pendapat sahabat yang lain di mana mereka mengemukakan pendapat mengikut pemahaman masing-masing. Sebagaimana adanya khilaf di kalangan sahabat dalam masalah-masalah fiqh maka begitu juga dalam masalah ini. Tidak semestinya seseorang itu terikat dengan pendapat salah seorang sahabat.

Abu Husna
-Sejarah tidak pernah berbohong-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Related Posts with Thumbnails